Ahad, 27 Ogos 2017

BAB 2 OBJEKTIF DAN PRINSIP PENGURUSAN ISLAM

     2.0 PENGENALAN
Sebuah organisasi perlu mempunyai matlamat atau objektif pengurusan yang tersendiri. Begitu juga di dalam pengurusan Islam, objektif pengurusan merupakan sesuatu yang sangat penting kerana menggariskan hala tuju yang akan dicapai oleh organisasi.
     2.1 OBJEKTIF PENGURUSAN ISLAM
   Menurut Rasid et al. (2008), antara kepentingan objektif pengurusan Islam adalah seperti berikut:
1 .      Melambangkan matlamat yang hendak dicapai dan menjadi garis panduan oleh sesebuah organisasi.
2 .    Membolehkan segala sumber serta usaha digerakkan kea rah pencapaian objektif.
3 .         Perancangan dapat dilaksanakan sebaik mungkin dengan mengambil kira reality masa ini, pengalaman masa lampau serta tuntutan untuk masa hadapan.
4 .      Membolehkan pengukuran dapat dilakukan dengan sebaik mungkin terhadap pencapaian yang diperoleh dan mengenal pasti masalah, cabaran serta pendekatan yang dilakukan untuk menghadapi masalah yang dating.
2.2 MATLAMAT UMUM SYARIAH (MAQASID SYARIAH)
     Menurut konteks pengurusan islam, objektif umum sesebuah organisasi seharusnya tidak lari daripada matlamat umum syariah Islamiah. Menurut Imam Syartibi dan Al Ghazali, matlamat umum syariah merangkumi lima komponen maqasid yang sangat mustahak, iaitu keselamatan akal, agama, harta, jiwa/nyawa dan keturunan yang setiap perundangan hukum itu mestilah bertujuan melindungi atau memelihara kepentingan akal, agama, harta, nyawa dan nasab atau keturunan umat manusia.
   Maqasid ini membuktikan bahawa Islam ialah sistem hidup yang lengkap, komprehensif, relevan pada bila-bila masa dan sudah tentu boleh dilaksanakan dalam apa-apa jua urusan kehidupan. Garis panduan yang ideal ini adalah untuk memastikan segala keperluan, kehendak dan aspirasi kehidupan dapat dipenuhi serta terpelihara. Hal ini juga selari dengan prinsip maqasid syariah, iaitu menjamin serta melindungi maruah, kepentingan dan serta kehormatan individu di samping memelihara keharmonian hubungan sesama manusia. Oleh itu, untuk mencapai objektif pengurusan islam, strategi, etika dan budaya yang ingin dikembangkan dalam sesebuah organisasi perlu seiring dengan matlamat syariah islam di samping mencapai matlamat khusus organisasi itu sendiri. 

Maqasid syariah secara umumnya ialah rantaian lima prinsip islam yang asas iaitu:

1) Menjaga keselamatan agama.
Matlamat syariah yang pertama dan terpenting dalam kehidupan seorang Muslim ialah menjaga keselamatan agama. Agama menjadi pemisah kualiti sebenar seorang muslim dan amat berkait rapat dengan aspek akidah. Dalam konteks organisasi, aspek keagamaan perlu dititikberatkan. Kegiatan yang dilaksanakan hendaklah dijaga agar tidak bercanggah dengan ajaran yang berteraskan fahaman tauhid serta tidak menggugat akidah yang dianuti seseorang. Sebaliknya, kegiatan yang meningkatkan keimanan dan keteguhan akidah perlu dibudayakan.

2) Menjaga keselamatan jiwa (nyawa).
Salah satu tujuan atau maqasid al-syariah ialah menjaga dan memelihara jiwa(nyawa) serta tubuh badan manusia. Hal ini mewajibkan seseorang itu memelihara nyawanya dan nyawa orang lain. Dalam konteks organisasi, persoalan keselamatan harus diberi keutamaan. Hal ini termasuklah unsur keselamatan di tempat kerja atau di sebuah lapangan perlu dititikberatkan. Segala kegiatan yang boleh menggugat atau mangancam nyawa manusia hendaklah dihindari.

3) Menjaga keselamatan akal. 
Menjaga akal dan pemikiran merupakan salah satu daripada matlamat syariah Islam. Oleh itu, akal dan pemikiran perlu dijaga kerana ia merupakan anugerah Allah yang paling berharga kepada manusia. Akal dan pemikiran juga merupakan keistimewaan daripada Allah S.W.T yang membezakan manusia berbanding dengan makhluk yang lain. Akal bukan sahaja perlu dijaga, tetapi perlu disuburkan fungsinya demi kebaikan umat sejagat. Oleh itu segala unsur yang boleh merosakkan akal adalah dilarang sama sekali, termasuklah minum arak, mengambil dadah serta memikirkan perkara yang tidak terjangkau oleh akal manusia.

4)Menjaga keselamatan maruah dan keturunan.
Memelihara maruah dan keturunan manusia merupakan salah satu matlamat syariah. Segala bentuk yang boleh membawa kepada pencabulan maruah dan keturunan manusia adalah dilarang sama sekali. Dalam konteks organisasi, perkara yang boleh mendorong kepada perbuatan zina dan mencabul kehormatan orang lain hendaklah dihalang dengan segera. Hal ini dapat dilaksanakan dengan meningkatkan kesedaran beragama serta mewujudkan budaya yang boleh mengukuhkan nilai dalaman dan akhlak pekerja. Dengan itu, organisasi dapat dilihat bersih dari pelbagai unsur negatif yang boleh menjatuhkan maruah warganya serta merendahkan reputasinya dalam kalangan masyarakat. Menjaga keturunan iaitu memelihara manusia dari melakukan penzinaan supaya nasab keturunan, perwalian dan perwarisan anak-anak yang lahir hasil daripada persetubuhan haram itu tidak rosak. Orang yang melakukan penzinaan wajib dijatuhkan hukuman sebat dan rejam. Islam mengharamkan zina dari awal lagi kerana ia boleh merosakkan keturunan yang baik hasil daripada kelahiran anak luar nikah. Bukan sekadar itu sahaja, islam mengharamkan perbuatan yang terlarang contohnya, berdua-duaan dan berkhalwat.

5)Menjaga keselamatan harta.
Menjaga dan memiliki harta merupakan salah satu tujuan atau maqasid al-syariah. Setiap individu diberikan kebebasan untuk mencari, memiliki serta menggunakan harta dengan cara yang halal. Dalam hal ini, warga organisasi hendaklah memelihara harta organisasi, menggunakannya secara berhemah dan tiada berlaku pemborosan. Warga organisasi perlu memastikan diri mereka memperoleh harta yang halal dan menghindari cara-cara yang salah seperti rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya dalam pelaksanaan tugas.Segala amalan yang baik tersebut perlu dijadikan budaya dalam kalangan warga organisasi.Dengan itu , pendapatan yang diperolehi akan bersih dan diberkati Allah S.W.T.

2.3 PRINSIP PENGURUSAN ISLAM
Prinsip ialah asas atau dasar yang menjadi pokok sesuatu pemikiran, tindakkan atau perlaksanaan. Dalam konteks pengurusan islam, prinsip bertindak selaku landasan dalam perlaksanaan suatu kegiatan pentadbiran atau pengurusan untuk mencapai matlamat yang telah dirancang dan telah ditetapkan oleh sesebuah organisasi. Pengurusan Islam secara hakikatnya merupakan terjemahan kepada 'kerajaan Islam' atau pemerintah Islam.Maka, prinsip sebuah 'negara Islam' melibatkan prinsip-prinsip yang berikut : 
(a) Al-Ubudiyyah
(b) Al-Syura 
(c) Al-Hurriyah
(d) Al-Musawah 
(e) Al-Adalah    

2.3.1 Al-Ubudiyyah
     Al-Ubudiyyah merupakan prinsip organisasi yang berkaitan dengan matlamat dan fungsi utama manusia sebagai hamba Allah. Prinsip ini merujuk kepada sifat pengabdian diri seseorang insan dengan setelusnya hanya kepada Allah S.W.T. Oleh itu, seluruh kegiatan seseorang inividu dan juga seluruh kegiatannya di dalam organisasi perlulah berpegang kepada konsep pengabdian diri kepada Allah.
Antara perkara penting yang berkaitan dengan ubudiyyah serta hubungannya dengan organisasi adalah seperti berikut:
 1. Matlamat atau hala tuju organisasi perlu seiring dengan konsep pengabdian diri kepada Allah  Konsep ini akan menjadikan matlamatnya adalah sesuatu yang sejajar dengan matlamat yang   hendak dicapai oleh islam. 
  1. Cara kaedah kegiatan yang dilaksanakan untuk mencapai matlamat organisasi juga perlu seiring dengan konsep ubudiyyah kepada Allah. Konsep ini menjadikan cara untuk mencapai matlamat tersebut mengambil kira nilai dan prinsip Islam di samping menegaskan penolakan terhadap konsep matlamat menghalalkan cara.
  2. Budaya yang wujud dan subur dalam organisasi perlu didokong dengan semangat pengabdian diri kepada Allah S.W.T. Maka, budaya yang bernafaskan nilai Islam akan wujud di dalam organisasi tersebut. 
2.3.2 Al-Syura 
Al-Syura merupakan prinsip pengurusan Islam yang kedua. Kepentingannya ditegaskan dengan jelas dan nyata di dalam al-Quran.Kemudian, dikukuhkan lagi oleh sunnah Rasulullah S.A.W serta amalan para sahabat.Al-Syura yang bermaksud muzakarah atau musyawarah juga merupakan unsur yang dianggap penting dalam kehidupan seharian.

Antara kepentingan Al-Syura dalam hubungannya dengan pengurusan ialah:
  1. Amalan syura menjadikan keputusan yang dibuat menjadi lebih baik berdasarkan logik akal. Keputusan yang dibuat mengikut pandangan ramai lebih baik daripada pandangan seorang. 
  2. Syura akan memantapkan keputusan yang dibuat hasil perbincangan yang lebih matang dan mendalam.
  3. Syura juga akan dapat mengelakkan kekeliruan dan ketidakfahaman kerana sesuatu perkara itu dibincangkan dengan teliti dan melibatkan jumlah ahli majlis yang ramai. 
  4. Melalui syura, kesalahan yang besar dapat dielakkan kerana keputusan yang dibuat telah diputuskan secara bersama (mengikut persepakatan ramai). 
  5. Syura bertujuan meningkatkan komitmen pekerja kerana keputusan tersebut dibuat secara bersama. Dengan ini, mereka akan merasakan keputusan yang dibuat itu adalah keputusan bersama dan bukan keputusan individu sahaja. 
  6. Syura merupakan wadah untuk memanfaatkan mereka yang berilmu, berpengalaman dan berkemahiran. Dengan itu, setiap mereka yang berpotensi akan merasakan diri mereka dihormati dan dihargai terutama apabila berbincang dan membuat keputusan bersama.
2.3.3 Al-Hurriyah
Al-hurriyah bermaksud kebebasan. Kebebasan menjadi salah satu prinsip pengurusan Islam. Prinsip ini bertitik tolak daripada hakikat pengiktirafan islam terhadap kebebasan yang manusia miliki sejak ia dilahirkan. Oleh itu, Islam menentang sebarang bentuk perhambaan tanpa sebarang alasan kecuali perhambaan terhadap Allah S.W.T.

Islam menjamin kebebasan manusia dari aspek hak asasi kemanusiaan yang melibatkan perkara-perkara yang berikut: 
  1.  Kebebasan beragama atau mengamalkan agama dan fahaman yang dianuti.
  2.  Kebebasan berfikir
  3.  Kebebasan bersuara 
  4.  Kebebasan memiliki dan mencari harta 
  5.  Kebebasan untuk menuntut ilmu
  6.  Kebebasan bergerak 
Kebebasan dalam Islam untuk setiap individu, dengan mengambil kira tiga perkara berikut:
  1. Kebebasan tidak mengganggu kepentingan orang lain, atau kepentingan awam. Hal ini kerana dalam Islam, apabila bertembung antara kepentingan peribadi dengan kepentingan umum, kepentingan umum itu hendaklah didahulukan.
  2. Kebebasan tidak mengganggu kepentingan organisasi yang membawa maksud kepentingan organisasi hendaklah diutamakan berbanding dengan kepentingan dan kebebasan diri.
  3. Kebebasan tidak bercanggah dengan nilai dan prinsip agama. Jika bercanggah, maka dengan sendirinya akan terbatal. 
2.3.4 Al-Musawah
Al-Musawah atau persamaan adalah di antara prinsip pengurusan di dalam islam. Persamaan ini berkaitan dengan hakikat bahawa manusia adalah berasal daripada keturunan yang satu iaitu berasal daripada nabi Adam a.s. Hanya yang membezakan setiap manusia itu dengan manusia yang lain ialah amalan, tanggungjawab dan ketaqwaan.
Pelaksanaan musawah atau persamaan di dalam organisasi melibatkan beberapa perkara berikut:
  1. Semua warga organisasi harus diterima sama rata, terutama dari sudut peraturan dan undang-undang.
  2. Warga organisasi hendaklah di layan dan dihormati dari sudut kemanusiaan, kerana setiap manusia mempunyai maruah, kecenderungan dan sifat serta citarasa yang tersendiri.
  3. Persamaan juga hendaklah diaplikasikan dari sudut peluang dan kemudahan yang diberikan agar setiap pekerja dapat merasal peluang dan hak yang sama.
  4. Pembahagian tugas hendaklah mengambil kira aspek kemanusiaan dan persamaan
2.3.5 Al-Adalah
Islam merupakan agama yang mementingkan keadilan. Keadilan dalam Islam merujuk kepada hak, iaitu pemberian hak kepada yang berhak dan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Keadilan ialah bercakap benar, jujur dan amanah, menjauhi perkara yang haram, menjauhi dosa dan syubhah, tenang dalam apa-apa jua keadaan sekali pun dan menjaga maruah.
 Dalam konteks pengurusan organisasi, keadilan merupakan tunjang kepada segala bentuk amalan pengurusan yang dilaksanakan dengan melibatkan perkara-perkara berikut: 
  1. Keadilan perlu diamalkan dalam proses pengambilan pekerja agar pekerja yang dipilih menepati kriteria dan kelayakan yang ditetapkan.
  2. Keadilan juga perlu dilaksanakan dalam pembahagian tugas supaya tugas tersebut diserahkan kepada yang layak mengambil kira bakat, potensi dan kekuatan.
  3. Keadilan harus dilaksanakan dalam menjatuhkan hukuman bukan berdasarkan kedudukan atau pilih kasih.
       2.4   PRINSIP DAN PERANCANGAN OPERASI
Prinsip dan perancangan operasi merupakan tanggungjawab semua pihak pengurusan sama ada pada peringkat atasan mahupun peringkat penyeliaan. Setelah perancangan strategik dibuat bagi mencapai objektif organisasi, prinsip dan perancangan operasi perlu dibuat dengan menyediakan butiran tertentu bagi mencapai perancangan strategic tersebut (Juhary, 2000). Prinsip dan perancangan operasi ini terbahagi kepada dua, iaitu:
1.       Rancangan untuk tujuan tertentu.
2.       Rancangan kekal yang bertujuan untuk meyelaraskan dan memberikan panduan tentang tugas dan membuat keputusan.

2.4.1 Rancangan untuk Tujuan Tertentu
Rancangan ini mengandungi program, projek dan belanjawan untuk aktiviti tertentu. Setelah program tamat, rancangan ini dibubarkan dan akan diwujudkan semula apabila terdapat program baharu. Berikut adalah huraian berkenaan:
1.  Program – mengandungi dan menerangkan secara menyeluruh aktiviti yang akan dijalankan seperti langkah demi langkah yang perlu diikuti oleh kakitangan yang dipertanggungjawab melalui jadual penyediaan program.
2. Projek – Tugas-tugas kecil di dalam program yang menunjukkan kakitangan tertentu yang telah dipertanggungjawab.
3. Belanjawan – Disifatkan sebagai satu alat untuk mengawal perjalanan aktiviti agar mematuhi peruntukan yang telah ditetapkan.

2.4.2 Rancangan Kekal
Rancangan ini berlaku apabila perancangan operasi melibatkan pengawalan perjalanan aktiviti akan dibuat melalui dasar, tatacara dan peraturan yang ditetapkan.
1. Dasar – Panduan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan atasan, untuk membuat keputusan dan mencari jalan keluar bagi mengelakkan konflik dan kekeliruan yang mungkin timbul pada peringkat bawahan.
2. Prosedur yang selaras – Tatacara atau kaedah menerangkan cara untuk menjalankan tugas dengan seragam.
3. Peraturan – Satu penyataan bagi mengawal sesuatu tindakan itu boleh dibuat atau tidak. Tanda atau kenyataan seperti “KAWASAN INI ADALAH KAWASAN LARANGAN MEROKOK” merupakan satu peraturan yang dikenakan kepada pihak tertentu atau orang ramai.
Kedua- dua perancanagan jangka panjang dan jangka pendek mempunyai hubungan yang erat dan saling berkaitan kearah mencapai matlamat Sesuatu bahagian dan kumpulan dalam organisasi. Pihak pengurusan perlu menyelaraskan perancangan strategik pada setiap peringkat dan bahagian masing-masing agar proses tindakan yang dilakukan oleh kakitangan menjadi realistik, dapat dilaksanakan dan mencapai objektif organisasi.

2.5 KETAATAN KEPADA ORGANISASI

  •  Merujuk kepada ketaatan seseorang pekerja kepada pengurus dan seorang pengurus kepada ketuanya. 
  • Prinsip utama ketaatan ialah selagi arahan atau perintah daripada pengurus tersebut tidak bercanggah dengan Islam, maka menjadi kewajipan pekerja mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh majikannya.
Terdapat juga beberapa faktor yang perlu diambil kira bagi menjadikan arahan tersebut sebagai sesuatu yang mesti diterima. Antaranya:
  • Arahan tersebut mestilah berada dalam bidang tersebut. 
  • Tugas yang diarah oleh majikan terdapat dalam deskripsi kerja 
  • kerja tersebut boleh dilakukan mengikut keupayaan mental dan fizikal pekerja. 
  • Ketaatan kepada organisasi dapat dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu :
Kesetiaan kepada organisasi 
Seseorang pengurus mesti setia kepada organisasinya, ia TIDAK BOLEH : 
  1.  Mengambil tindakan yang boleh menimbulkan risiko yang besar kepada organisasinya. 
  2.  Membuat keputusan yang mungkin membawa kepada kerugian syarikatnya. 
  3. Membelakangkan kepentingan organisasinya demi kepentingan organisasi yang lain seperti memberikan maklumat rahsia organisasinya kepada organisasi pesaing. 
  4. Bekerja dengan dua organisasi yang berbeza dalam satu-satu masa tertentu.
Kepatuhan kepada disiplin 
  1.  Kepentingan disiplin sememangnya tidak dinafikan bagi memastikan operasi organisasi berjalan dengan lancar.
  2.  Organisasi perlu menyediakan dasar dan peraturan supaya dipatuhi oleh setiap individu yang bekerja di dalamnya. 
  3.   Tanpa disiplin, operasi organisasi akan jadi kacau bilau yang akibatnya akan memusnahkan organisasi akhirnya. 
  4.   Setiap pengurus diamanahkan oleh majikan dan pihak pengurusan atasan bagi memastikan segala peraturan dan arahan yang berkaitan dengan kerja diikuti oleh pekerjanya dan diri pengurus itu sendiri.
2.5.1 Definisi Organisasi
Satu unit sosial yang terdiri daripada manusia yang bekerjasama dan saling bergantung antara satu dengan yang lain bagi mencapai matlamat individu, kumpulan dan organisasi. Perkataan organisasi didefinisikan sebagai struktur perhubungan untuk menyelesaikan pekerjaan. Kumpulan dua atau lebih orang yang wujud dan beroperasi untuk mencapai objektif yang dinyatakan dan dipersetujui bersama. 

2.5.2 Ciri-ciri Organisasi
Sesebuah organisasi yang telah dibentuk akan melambangkan identitinya yang tersendiri. Misalnya, sebuah pusat pengajian tinggi termasuk politeknik seharusnya melambangkan tempat untuk menimba ilmu, sebagai sebuah pusat penyelidikan, dan juga sebagai sebuah institusi yang memberi perkhidmatan dan sumbangan kepada masyarakat sama ada dalam bentuk bimbingan atau khidmat nasihat, dan pengajaran dan pembelajaran lain. Untuk mencerminkan identiti atau nilai-nilai tinggi sebagai sebuah menara gading, universiti hendaklah memainkan peranan yang diharapkan oleh masyarakat kampus khususnya dan masyarakat awam amnya. Dengan demikian fungsi sesebuah universiti itu didapati berbeza dengan organisasi-organisasi lain yang mempunyai objektif tertentu.
 Di dalam sesebuah organisasi, sama ada organisasi kecil atau besar, ia mempunyai hierarki atau tingkat autoriti. Jika dibandingkan antara kedua-dua organisasi kecil dan besar, sudah tentu ia berbeza dari segi bilangan hierarki (tingkat) aktiviti dan bilangan kakitangan pengurusan pada setiap tingkat. Misalnya, organisasi besar mungkin mempunyai lebih daripada tiga tingkat autoriti dan setiap tingkat autoriti itu akan mempunyai lebih daripada tiga atau empat pegawai yang bertanggungjawab kepada ketua-ketua mereka yang berada pada peringkat yang lebih tinggi lagi. 
 Di dalam sesebuah organisasi, terdapat pembahagian kerja berdasarkan jenis pekerjaan atau bahagian yang diwujudkan. Pada umumnya, organisasi pembuatan mewujudkan bahagian-bahagian seperti bahagian pengeluaran dan pentadbiran. Di bahagian pentadbiran, terdapat beberapa unit lain seperti personal, pemasaran, dan kewangan. Organisasi yang mempunyai tiga bahagian itu beroperasi secara pembahagian kerja mengikut tanggungjawab yang tertentu. 


2.6 PENURUNAN AUTORITI DAN KUASA YANG WAJAR DALAM PENURUNAN TUGAS

Seseorang pengurus tidak boleh melakukan kesemua kerja dalam jabatannya. Dengan sendirinya pengurus memerlukan pekerja bagi memudahkan urusan kerja. Pengurus akan memilih kerja atau tugasan yang sesuai untuk diserahkan kepada para pekerjanya. Setiap pekerja mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam menjalankan kerja masing-masing. 
Dalam memberikan kerja, seseorang pengurus mesti memberikan pekerja tersebut autoriti dan had kuasa bagi mebolehkan menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan. Kuasa yang diberikan perlulah wajar dengan autoriti kerja. Sekiranya kuasa yang diberikan kurang wajar dengan autoriti kerja, sudah tentu pekerja tersebut akan menghadapi masalah dalam menjalankan tugas nanti. Kejayaan penurunan kuasa samada kepada pekerja bawahan atau kepada pengurus cawangan terletak sebahagian besarnya kepada kepercayaan pihak pengurusan terhadap orang bawahan mereka.
Amalan penyerahan kuasa terhadap orang bawahan sama ada pegawai atau pembantunya dalam kepimpinan seseorang pemimpin adalah antara faktor pengukuhan kemahiran kemanusiaan. Ketua atau pemimpin adalah juga manusia yang mempunyai keupayaan yang terhad. Sudah tentu mereka tidak mampu untuk memikul segala-galanya tanpa menyerahkan setengah urusan pentadbiran kepada gabenornya untuk diselesaikan. Pada ketika itu gabenor bertindak selaku wakil kepada pemimpin. Selanjutnya amalanpenyerahan kuas ini secara tidak langsung akan melahirkan rasa yakin gabenor terhadap keupayaan diri dan kepercayaan ketua terhadapnya. Ini akan lebih mendorong seseorang yang diberikan tanggungjawab menjalankan tugas dengan penuh amanah, dedikasi dan tekun. 

2.6.1 Penurunan kuasa pada Zaman Rasulullah dan Sahabat 
Amalan penyerahan kuasa yang menjadi amalan Rasulullah SAW telah diwarisi pula oleh para sahabat. Mohd Kurd Ali mengatakan: 
Cara pentadbiran Umar adalah sama seperti cara yang dilakukan oleh sahabatnya, Abu Bakar iaitu memberi kebebasan kepada gabenor dalam mengendalikan urusan pentadbiran tempatan, permasalahan awam dan mereka juga bertanggungjawab untuk bertindak selaku penyelidik baik dalam keadaan tertutup atau terbuka.
Penurunan kuasa adalah bagi tujuan pelaksanaan statut yang lebih licin, teratur, cepat dan berkesan, mengikut masa, keadaan (siatuasi) dan tempat. Ini sebenarnya yang dicita-citakan daripada konsep asal penurunan kuasa. Ianya lebih merupakan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang dinyatakan didalam statut. 
Bagi menentukan aktiviti organisasi supaya berjalan dengan lebih teratur seperti yang dirancangkan, ia memerlukan sistem pengawasan, penyelarasan dan pengawalan ke atas perjalanan aktiviti. Dengan demikian di dalam sesebuah organisasi, peraturan, dasar, prosedur dan sistem hubungan hendaklah dijelaskan kepada kakitangan dengan jelas dan nyata. 

 2.6.2 Pemberian Ganjaran

Dalam sesebuah organisasi Islam, aspek ini merupakan suatu perkara penting dalam segala urusan yang berlaku di antara majikan (ketua) dengan orang bawahan. Allah berjanji akan memberi balasan yang baik terhadap orang yang melakukan sesuatu tindakan yang baik.

PEMBAHAGIAN GANJARAN 

Ektrinsik
Ganjaran kewangan seperti kenaikan upah dan bonus

Instrinsik
>Ganjaran penghargaan seperti surat pujian dan sijil pekerja cemerlang.
>Seseorang pengurus harus mengambil peluang dengan sebaik mungkin untuk menyediakan ganjaran instrinsik kepada pekerjanya. Dalam hal ini seseorang pengurus tidak boleh bersifat kedekut untuk tidak memberikan pujian dan penghargaan yang sepatutnya kepada pekerjanya yang berprestasi cemerlang.











1 ulasan:

  1. Harrah's casino opens new location - DRMCD
    The 이천 출장안마 Cherokee Nation's first tribal casino in U.S. 안동 출장안마 is opening 부천 출장샵 at Harrah's Cherokee 경산 출장샵 Casino in Cherokee, N.C., later 안산 출장샵 this week.

    BalasPadam

BAB 2 OBJEKTIF DAN PRINSIP PENGURUSAN ISLAM       2.0 PENGENALAN Sebuah organisasi perlu mempunyai matlamat atau objektif pengurus...