Ahad, 27 Ogos 2017

BAB 3 : PROSES PENGENDALIAN PENGURUNDANGAN ISLAM

3.0 PENGENALAN
Bab ini akan membincangkan amalan atau proses kerja pengurusan dalam Islam seperti perancangan, penyusunan, pengarahan dan pengawalan. Dalam sesebuah organisasi, proses-proses tersebut sangat penting kerana dapat menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan organisasi berteraskan pengurusan Islam.

3.1 PROSES PENGENDALIAN  PENGURUSAN ISLAM
Islam merupakan satu agama yang syumul dan lengkap merangkumi seluruh aspek kehidupan . Pengurusan atau pentadbiran merupakan salah satu daripada aspek yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Ia merupakan sebahagian daripada sistem masyarakat. Ertinya Islam menentukan matlamat hidup dan hubungan manusia dengan manusia , manusia dengan Allah SWT , manusia dengan masyarakat dan hubungan manusia dengan alam. Semuanya termasuk di dalam lingkungan ibadah kepada Allah SWT. 
    
Menurut Mustafa Haji Daud (1994), proses pengendalian pengurusan melibatkan empat peringkat dan elemen utama seperti berikut :
1)      PERANCANGAN
2)      PENGORGANISASIAN
3)      KEPIMPINAN
4)      PENGAWASAN
Keempat-empat elemen ini saling berkaitan antara satu sama lain. Justeru itu, proses pengurusan dilaksanakan secara bersama.
3.3.1 PERANCANGAN
Elemen utama dalam pengurusan ialah perancangan. Dalam sesebuah organisasi perancangan merupakan sesuatu perkara yang paling utama dan perlu dititikberatkan oleh pihak pengurusan.
Menurut Rasid (2011) Elemen perancangan biasanya melibatkan perkara-perkara berikut :
  1. Pengenalpastian sumber yang ada
  2. Penentuan matlamat atau objektif organisasi
  3. Penentuan garis panduan untuk mencapai objektif
  4. Jangka waktu yang ditentukan untuk mencapai objektif
  5. Falsafah dan prinsip organisasi
  6. Keseluruhan kegiatan organisasi

Definisi : 
Perancangan ditakrifkan sebagai satu proses menentukan objektif yang dikehendaki dan seterusnya membina strategi-strategi tindakan yang sesuai dan terbaik dengan mengambil kira faktor-faktor dalaman organisasi dan persekitaran luaran yang akan mempengaruhi sesebuah organisasi untuk mencapai objektif tersebut.
Sesuatu perancangan yang berorientasikan masa depan seharusnya melibatkan penentuan dan penyusunan tentang persoalan-persoalan yang berikut :
a)      Apakah kerja-kerja yang perlu dilakukan?
b)      Bilakah pelaksanaannya akan dilakukan?
c)      Siapakah yang akan terlibat dalam kerja-kerja tersebut?
d)      Bagaimanakah kerja-kerja tersebut dilakukan?
e)      Di manakah pelaksanaan tersebut akan dilakukan?

Pengurusan Islam telah menetapkan prinsip perancangan yang tertentu sebagai garis panduan kepada setiap organisasi. Menurut Azman Che Omar (2002) prinsip perancangan dalam pengurusan Islam adalah seperti yang berikut :

a)      Dirancang oleh semua individu di dalam organisasi
b)      Perancangan perlu fleksibel
c)      Dilaksanakan secara berjemaah
d)      Ketentuan kejayaan perancangan datangnya daripada Allah SWT

Proses Perancangan Dalam Pengurusan Islam :

  1. Menentu dan menetapkan hala tuju sesebuah negara
  2. Menganalisis suasana dan status semasa
  3. Membuat analisis bantuan dan halangan
  4. Mewujudkan strategi yang sesuai

3.1.2 PENGORGANISASIAN
Pengorganisasian merupakan kesinambungan daripada perancangan yang mempengaruhi keberhasilan perancangan yang dilaksanakan. Oleh yang demikian, sesebuah organisasi yang hendak dibina perlu berteraskan pada pengorganisasian bagi memastikan segala gerak kerja yang dilaksanakan akan berjalan lancar dan mencapai kejayaan.

Definisi :

Pengorganisasian ataupun penyusunan merujuk kepada proses pembahagian setiap sumber yang ada, sama ada manusia, benda atau perkara pada kedudukan yang sesuai, kegunaan yang munasabah, fungsi yang jelas dan peranan yang berkesan bagi mencapai matlamat organisasi. Dalam pengurusan Islam, penyusunan merujuk pembentukan organisasi, pembahagian kerja, kemudian mengagihkannya kepada bahagian-bahagian kecil untuk dilaksanakan.

Proses penyusunan :

Antara proses penyusunan yang perlu dilakukan di dalam organisasi adalah :
  1. Menyenaraikan tugas dan bidang tugas yang hendak dilaksanakan
  2. Membuat pembahagian tugas mengikut kesesuaian dan kemahiran tenaga yang ada.
  3. Mewujudkan unit-unit kecil mengikut kesesuaian
  4. Membuat penyelarasan tugas agar tidak berlaku percanggahan di dalam setiap tugas yang diuruskan
  5. Mengawasi pelaksanaan tugas dilakukan
  6. Membuat post mortem sama ada perlu kepada penambahbaikan atau tidak bagi mencapai matlamat organisasi

Antara contoh penyusunan yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika berhijrah ke Madinah adalah seperti yang berikut :
a)      Meminta Saidina Ali bin Abi Talib menggantikan Baginda di tempat tidur.
b)      Berhijrah pada waktu malam bersama-sama Saidina Abu Bakar al-Siddiq.
c)      Baginda dan Saidina Abu Bakar memilih jalan yang jarang-jarang dilalui oleh orang Quraisy
d)      Baginda dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur selama tiga hari.
e)      Asma’ binti Abu Bakar membekalkan makanan semasa Baginda bersembunyi di Gua Thur.
f)       Abdullah bin Abu Bakar ditugaskan untuk mendengar perkhabaran kaum Quraisy dan menyampaikan berita kepada Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar pada malam hari.
g)      Amir bin Furaihah ditugaskan menutup kesan tapak kaki Baginda, Abu Bakar, Abdullah dan Asma’ melalui kesan tapak kaki binatang ternakannya.
h)      Seorang Yahudi , iaitu Abdullah bin Uraiqat menunjuk jalan yang paling selamat ke Madinah.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa penyusunan dalam organisasi yang rapi oleh pihak pengurusan amat penting untuk melahirkan kejayaan dan kecemerlangan di dalam organisasi. Sirah Rasulullah jelas membuktikan kepada seluruh masyarakat dunia bahawa perancangan yang rapi dan disusuli dengan penyusunan gerak kerja yang baik telah berjaya membentuk satu kegemilangan dalam organisasi yang bina.

3.1.3 KEPIMPINAN

Islam amat mementingkan elemen kepimpinan bagi melahirkan sebuah organisasi yang disegani oleh masyarakat yang lain.

Definisi :

Kepimpinan bermaksud keupayaan seseorang pemimpin (ketua) pada setiap peringkat pengurusan yang mendorong, mempengaruhi, membawa dan menggunakan setiap sumber organisasi yang wujud supaya saling berperanan dan berfungsi untuk mencapai matlamat yang telah ditentukan.

Konsep Kepimpinan :

Kepimpinan dalam Islam merupakan satu amanah. Kepimpinan ialah tanggungjawab yang lahir daripada autoriti yang sahih. Seorang pemimpin yang memimpin sesebuah organisasi, jabatan atau unit merupakan individu yang diberi amanah dan bukannya diberi peluang untuk mencipta nama atau memperluas pengaruh kuasa yang sedia ada. Dalam pengurusan Islam, pemimpin (ketua) ialah seseorang yang akan ditanyakan di akhirat (kelak) tentang tanggungjawab kepimpinannya.

Pengarahan :

Pengarahan merupakan penggunaan kuasa dan mandat yang ada pada seseorang pemimpin yang perlu digunakan secara berkesan. Kuasa yang terdapat pada seseorang pemimpin merupakan satu keistimewaan yang dimiliki oleh mereka dan perlu diuruskan dengan cara yang baik .

Tanggungjawab Pemimpin :

Seseorang pemimpin mempunyai tanggungjawab terhadap pekerjanya. Antara kewajipan pemimpin terhadap pekerja di bawah pimpinannya ialah :
  1. Menjadi contoh dan teladan yang baik dalam segala perkara
  2. Menjaga hubungan di samping menitikberatkan urusan terhadap pekerja dan bertindak adil dalam segala urusan
  3. Meminta pandangan orang ramai serta menghormati pendapat mereka
  4. Mempunyai keyakinan terhadap keupayaan pekerja dalam melaksanakan sesuatu yang diserahkan kepada mereka
  5. Sentiasa mengawasi dan memerhati pekerja dalam melaksanakan tanggungjawab

Prinsip Kepimpinan :

  1. Kepimpinan mestilah melibatkan orang lain, iaitu pekerja dan pemimpin
  2. Kepimpinan melibatkan pembahagian kuasa yang tidak sama antara pemimpin dengan ahli kumpulan lain
  3. Kepimpinan melibatkan gaya dan suasana yang diwujudkan oleh pemimpinnya
  4. Arah tuju kepimpinan dalam Islam mestilah tidak menyeleweng daripada syariat Islam
Bentuk – Bentuk Kepimpinan :
  1. Kepimpinan Demokrasi
  2. Kepimpinan Autokrasi
  3. Kepimpinan Laissez faire

3.1.4  PENGAWASAN

Untuk memastikan perancangan, pengorganisasian dan pengarahan dilaksanakan dengan baik, pengawasan amat perlu. Pengawasan yang baik dalam organisasi akan memberi impak yang sangat besar bagi memastikan jatuh bangunnya sesebuah organisasi dan kejayaan gerak kerja yang dijalankan.

Definisi :

Azman Che Omar (2003), mentakrifkan pengawasan dalam konteks organisasi sebagai satu proses dalam menentukan kerja atau aktiviti yang dilakukan atau terdapat di dalam organisasi supaya berjalan lancar mengikut perancangan yang sedia ada.
Jaafar Muhammad (2003) mendefinisikan pengawasan sebagai satu proses menentukan atau menjamin supaya kegiatan organisasi ke arah pencapaian matlamat yang telah ditetapkan .
Ahmad Ibrahim Abu Sin (2002) pula menjelaskan bahawa kawalan ini melibatkan seluruh kegiatan organisasi, iaitu yang melibatkan perancangan, pengorganisasian dan juga pengarahan serta proses membuat keputusan.

Dalil Keperluan Pengawasan :

Dalil-dalil dalam al-Quran mengenai keperluan pengawasan bagi sesebuah organisasi adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Tawbah, iaitu ;

  Maksudnya :
“ Dan katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serat orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.
                                                                                                                  (Surah Al-Tawbah9:105)

Ayat tersebut menjelaskan setiap perkara yang dilakukan oleh manusia di atas muka bumi tidak akan terlepas daripada pengawasan Allah SWT. Setiap manusia pasti akan mendapat balasan dan ganjaran atas setiap perkara yang dilakukan. Dalam hal ini, pengawasan yang berlaku akan menyebabkan manusia dinilai oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Tahap-Tahap Pengawasan :

Tahap pengawasan terbahagi kepada tiga iaitu;
  1. Pengawasan kendiri
  2. Pengawasan dalaman
  3. Pengawasan luaran

Proses Kawalan :

Proses kawalan dibuat untuk menentukan semua aktiviti organisasi berjalan lancar mengikut perancangan supaya organisasi berjaya mencapai arah tuju yang telah ditetapkan. Proses kawalan boleh dibahagikan kepada lima peringkat seperti yang berikut;
  1. Menetapkan piawai
  2. Menilai atau mengukur prestasi
  3. Membandingkan pencapaian prestasi dengan piawai
  4. Membuat tindakan pembetulan sekiranya berlaku kegagalan
  5. Menambah baik prestasi
Jenis Kaedah Kawalan :
Terdapat empat jenis kaedah kawalan, iaitu;
  1. Kawalan sebelum tindakan
  2. Kawalan semasa pelaksanaan
  3. Kawalan saringan
  4. Kawalan selepas tindakan
    Dalam proses pengendalian pengurusan, kawalan atau pengawasan sangat penting bagi menjamin kecemerlangan organisasi. Kawalan yang berkesan haruslah mengikut ciri-ciri tertentu. Namun bagi individu Muslim, kawalan bermula dari dalam diri dan setiap gerak kerja yang dilakukan memerlukan keyakinan bahawa Allah SWT sentiasa mengawasinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BAB 2 OBJEKTIF DAN PRINSIP PENGURUSAN ISLAM       2.0 PENGENALAN Sebuah organisasi perlu mempunyai matlamat atau objektif pengurus...